Khamis, 20 Oktober 2011




Apa yang menjadikan jiwa kita begitu sempit, begitu lemah dan kecewa berdepan dengan ujian kehidupan?

Apa yang menjadikan jiwa kita sering terperangkap dalam keputus asaan atau terkurung dalam penyesalan?

Ya, apa yang kita lihat begitu penting dan besar dalam kehidupan kita sehingga kita sandarkan jiwa, hati dan perasaan kita padanya, yang menyebabkan jiwa kita begitu menderita apabila kehilangannya ?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu kita carikan jawapannya jika kita ingin benar-benar menjadi manusia yang berbahagia dalam hidup ini.


Bayangkan jika jawapannya ialah DUNIA. Tentunya kita akan sering terkecewa kerana dunia itu bukan hanya milik kita. Kata Ibnu Qayyim Al Jauziyah; dunia itu umpama wanita curang. Ketika didepan kita ia berjanji setia mengaku cintanya untuk kita namun dibelakang, ia milik siapa saja yang mampu mengembirakannya.

Bayangkan jika jawapan bagi semua persoalan itu adalah NAFSU kita. Tentunya kita akan sentiasa menderita kerana nafsu kita itu tidak akan pernah menemui kepuasan. Kerana nafsu itu, jika diberikan satu gunung daripada emas maka ia akan bertanya mana gunung yang kedua. Jika diberikan ia dua gunung daripada emas maka ia akan bertanya, mana gunung yang ketiga dan seterusnya.

Tetapi jika jawapannya ialah Allah, maka kitalah yang paling berbahagia, kitalah yang paling lapang dadanya dan paling tenang hatinya kerana kita akan dapati Allah sentiasa dekat dan mendengar segala doa dan keluhan hati kita kita. Bahkan Allah mengatur kehidupan kita dengan sifat RAHMAN dan RAHIMNYA. Dan Allah jua lah yang Maha Bijaksana dalam mengatur segala ketentuanNya.

Maka tentunya jiwa kita akan sentiasa lapang dan penuh pengharapan.